Sunday, 1 March 2020

Sains,Teknologi Dan ICT

APA ITU SAINS,TEKNOLOGI DAN ICT?

Sains dari segi bahasa berasal dari perkataan scientia dalam bahasa Latin yang bermaksud ilmu pengetahuan. Secara umumnya, ilmu sains bukan sahaja bermaksud satu disiplin ilmu yang berkaitan dengan fenomena alam fizikal, tetapi juga merujuk kepada kaedah memperoleh ilmu itu iaitu melalui eksperimen dan pembuktian empirikal. Dengan itu, sains menolak penjelasan melalui unsur ghaib yang tidak boleh dibuktikan secara empirikal.
Tahukah anda apa pula makna teknologi? Teknologi merujuk kepada cara penyelesaian kepada masalah sebenar manusia melalui kemajuan dan penggunaan peralatan, bahan-bahan, jentera, maklumat, pemerosesan dan sebagainya. Hal ini bermakna teknologi lebih merujuk kepada cara penggunaan dan pengetahuan peralatan dan kemahiran manusia. Sejarah teknologi bermula seawal sejarah manusia sendiri. Manusia terawal telahpun menggunakan pelbagai peralatan untuk menyelesaikan masalah hidup mereka seperti alat perburuan, pertanian, pemahatan dan sebagainya. Setelah itu, peralatan yang digunakan oleh manusia menjadi semakin kompleks dan ilmu pengetahuan tentangnya juga berkembang. Himpunan ilmu pengetahuan tentang teknik penciptaan peralatan dan kegunaannya untuk memenuhi pelbagai keperluan fizikal hidup manusia inilah yang akhirnya berkembang menjadi satu disiplin ilmu teknologi seperti yang diketahui sekarang.
ICT pula merujuk kepada penggunaan teknologi dalam mengurus, mengguna dan memproses maklumat. Secara tepatnya ICT berkait dengan penggunaan komputer elektronik dan perisian untuk memindah, menyimpan, memelihara, memproses dan memadankan maklumat. Bagi masyarakat umum pula, ICT lebih difahami sebagai kemahiran memanfaatkan dan menggunakan Internet untuk tujuan mencari, memindah, menyimpan dan memadankan maklumat.

Image result for ICT

No comments:

Post a Comment